
DUBAI: Pemimpin Arab semalam mengadakan perbincangan tidak rasmi di Riyadh mengenai usaha bersama dalam menyokong perjuangan Palestin dan perkembangan di Gaza.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA) mesyuarat itu dihadiri oleh pemimpin negara Teluk, Mesir dan Jordan.
Negara Arab kini berusaha merangka alternatif kepada rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu membangunkan Gaza sebagai pusat peranginan pantai antarabangsa dan meminta Mesir serta Jordan menerima pelarian Palestin yang dipindahkan.
Kedua-dua negara itu menolak cadangan berkenaan atas faktor keselamatan negara.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada tanda negara Arab mencapai kemajuan dalam pelan alternatif.
SPA tidak menyebut sama ada pemimpin itu membincangkan cadangan Trump.
Mesyuarat yang dihoskan oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman, turut dihadiri Raja Jordan, Raja Abdullah dan Putera Mahkota Hussein, Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan.
Hadir sama Emir Kuwait, Sheikh Meshal al-Ahmad al-Sabah dan Putera Mahkota Bahrain, Salman Hamad Al-Khalifa, menurut foto yang disiarkan bersama kenyataan SPA.
Sumber yang mengetahui perbincangan itu memaklumkan pemimpin membincangkan cadangan utama yang dikemukakan oleh Mesir, termasuk dana sebanyak AS$20 bilion dalam tempoh tiga tahun daripada negara Teluk dan Arab, namun tiada pengesahan rasmi mengenainya.
SPA turut melaporkan pemimpin Arab mengalu-alukan usaha Mesir untuk menjadi tuan rumah mesyuarat kecemasan Liga Arab pada 4 Mac depan.
Arab Saudi dan UAE, antara negara Arab yang menormalkan hubungan dengan Israel, turut menolak sebarang pemindahan rakyat Palestin dari Gaza dan menegaskan sebarang usaha damai harus mempertimbangkan kewujudan sebuah negara Palestin yang berdampingan dengan Israel.
Rancangan Trump menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin dan negara serantau dengan ia boleh mencetuskan ketidakstabilan serta mengulangi peristiwa “Nakba”, iaitu bencana tahun 1948 ketika penubuhan Israel.
Dalam peristiwa itu, hampir 800,000 rakyat Palestin terpaksa melarikan diri atau diusir dari rumah dan kampung halaman mereka.
Ramai yang dipindahkan ke kem pelarian di Jordan, Lubnan dan Syria, serta di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.