NEW YORK: Seorang pemilik bangunan di Brooklyn menetapkan peraturan yang disifatkan agak ganjil buat warga Amerika Syarikat (AS).
Menurut New York Times, iklan sewa apartmen di Fort Greene itu disiarkan seorang ejen hartanah awal Jun lalu, namun syarat utama pemilik bangunan yang perlu dipatuhi agak ‘keterlaluan’.
‘Tidak boleh ada daging atau ikan di dalam bangunan’ – peraturan itu yang menurut ejen hartanah, Andrea Kelly kerana pemilik kediaman seorang vegetarian dan tidak membenarkan sebarang masakan berasaskan daging dan ikan di rumah sewanya.
“Rumah ini bukan untuk disewa oleh orang vegetarian sahaja, tetapi pemilik, Michal Arieh Lerer yang tinggal di bangunan sama tidak mahu bau masakan daging naik ke tingkat atas,” katanya.
Bekas suami Lerer yang merupakan pemilik bersama bangunan itu, juga seorang vegetarian, mendakwa mereka tidak menyewakan apartmen kepada individu yang makan dan memasak daging sejak membeli bangunan berkenaan pada 2007.
“Ia bukan mengenai diskriminasi. (Sebaliknya) Anda perlu sesuaikan diri dengan kediaman ini,” kata Motti Lerer.
Walau dilarang memasak, penyewa bagaimanapun dibenar untuk membeli hidangan berasaskan daging dan ikan secara bawa pulang. – AGENSI