comscore
Tumpuan :
Dunia

Pembunuh siri paling kejam di Thailand dijatuhi hukuman mati

Sararat Rangsiwuthaporn membiayai ketagihan judinya dengan meminjam wang daripada mangsa, sebelum membunuh mereka dan mencuri barang kemas serta telefon bimbit mereka.

BANGKOK: Seorang wanita Thailand yang dianggap antara pembunuh bersiri paling kejam dalam sejarah negara itu dijatuhi hukuman mati pada Rabu atas kesalahan meracuni rakannya dengan sianida. Ini merupakan perbicaraan pertama daripada 14 kes pembunuhan yang dikaitkan dengannya.

Sararat Rangsiwuthaporn, 36, seorang penagih judi dalam talian, didapati menipu ribuan dolar daripada mangsanya sebelum membunuh mereka menggunakan bahan kimia berbahaya itu.

Mahkamah di Bangkok mendapati dia bersalah membunuh rakannya, Siriporn Kanwong, yang rebah dan meninggal dunia selepas mereka bertemu di kawasan berhampiran Bangkok pada April tahun lalu untuk upacara melepaskan ikan ke Sungai Mae Klong. Bedah siasat menemui kesan sianida dalam tubuh mangsa.

Polis berjaya mengaitkan Sararat dengan beberapa kes keracunan sianida yang tidak dapat diselesaikan sejak 2015.

“Keadilan telah ditegakkan. Saya merindui anak saya, tetapi hari ini keadilan telah dicapai,” kata ibu Siriporn, Tongpin Kiatchanasiri.

Sararat membiayai ketagihan judinya dengan meminjam wang daripada mangsa, termasuk sebanyak 300,000 baht (RM40,248) dalam satu kes, sebelum membunuh mereka dan mencuri barang kemas serta telefon bimbit mereka.

Daripada 15 mangsa yang menjadi sasarannya, hanya seorang terselamat selepas enggan mengambil ‘kapsul herba’ yang mengandungi racun.

Sararat kini berdepan 13 lagi perbicaraan pembunuhan dan didakwa dengan lebih 80 kesalahan secara keseluruhan.

Bekas suaminya, seorang leftenan kolonel polis, dijatuhi hukuman penjara 16 bulan, manakala bekas peguamnya dihukum dua tahun kerana bersubahat dalam pembunuhan Siriporn.

Thailand pernah mencatatkan beberapa kes jenayah kejam berprofil tinggi, termasuk kematian enam warga asing di sebuah hotel mewah di Bangkok awal tahun ini, yang turut dikaitkan dengan keracunan sianida melibatkan hutang bernilai jutaan baht.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini