comscore
Tumpuan :
Dunia

Pembongkar dakwa Boeing hilang kawalan terhadap komponen rosak – Senator AS

FOTO: Reuters

WASHINGTON: Seorang pekerja Boeing memberitahu penyiasat kongres bahawa syarikat itu kehilangan kawalan terhadap ratusan komponen rosak dan mungkin telah memasangnya dalam pesawat 737 Max, kata Senator Amerika Syarikat (AS) Blumenthal kepada CNN pada Selasa, lapor Sputnik.

Pekerja Boeing berkenaan berkata penyelia syarikat mengarahkannya untuk menyembunyikan komponen rosak itu daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan dan kini dikenakan tindakan balas.

“Dakwaannya sangat serius,” kata Blumenthal kepada CNN. “Penjelasannya mengenai tindakan balas terhadapnya sangat menakutkan, tekanan yang diberikan kepadanya untuk berdiam diri. Mereka mempunyai program yang dipanggil Speak Up, tetapi dia diarahkan untuk diam.”

Laporan itu memetik kenyataan Boeing yang mengatakan syarikat itu sedang mengkaji dakwaan pemberi maklumat itu.

“Kami sentiasa menggalakkan pekerja melaporkan semua kebimbangan kerana keutamaan kami adalah memastikan keselamatan pesawat dan penumpang,” menurut Boeing dalam kenyataan itu.

Dakwaan baharu berkenaan muncul ketika Ketua Pegawai Eksekutif Boeing, David Calhoun dijadualkan memberi keterangan pada petang Selasa di hadapan jawatankuasa kecil Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Senat yang dipengerusikan Blumenthal. – BERNAMA-SPUTNIK

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini