Tumpuan :
Dunia

Pemangku Presiden Korea Selatan umum tempoh berkabung berikutan nahas pesawat

FOTO: Reuters

SEOUL: Pemangku Presiden Korea Selatan, Choi Sang-mok pada Ahad mengumumkan tempoh berkabung di seluruh negara berikutan nahas pesawat yang meragut sekurang-kurangnya 177 nyawa, dengan dua orang masih hilang, menurut pejabatnya.

Agensi Berita Yonhap melaporkan bahawa pengumuman itu dibuat semasa mesyuarat tergempar yang diadakan beberapa jam selepas pesawat penumpang yang membawa 181 individu terhempas dan meletup di sebuah lapangan terbang di Muan, daerah di barat daya Korea Selatan.

Dua kru terselamat dalam kejadian itu.

“Kami mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi yang tidak dijangka ini,” kata Choi.

Beliau mengisytiharkan tempoh berkabung nasional selama tujuh hari, bermula pada Ahad dan akan berakhir pada tengah malam Sabtu.

Choi juga telah menetapkan Muan sebagai zon bencana khas, menjadikannya layak untuk menerima sokongan kerajaan.

“Kami akan menyediakan semua bantuan yang diperlukan untuk usaha pemulihan, sokongan untuk keluarga yang berduka dan rawatan perubatan bagi yang cedera,” katanya.

Pemangku Presiden itu seterusnya mengarahkan agensi berkaitan untuk menggerakkan semua sumber yang ada, termasuk peralatan, kakitangan dan infrastruktur.

Choi yang juga Timbalan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Ekonomi dan Menteri Kewangan mengambil alih peranan kepimpinan sementara pada Jumaat, berikutan penggantungan tugas Pemangku Presiden, Han Duck-soo oleh Parlimen.

Han telah didakwa tidak sampai dua minggu selepas beliau mengambil alih jawatan Presiden, Yoon Suk Yeol pada 14 Disember, yang didakwa kerana salah mengendalikan undang-undang tentera.- BERNAMA-YONHAP

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini