OSLO: Seorang pelajar Malaysia ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kesalahan pengintipan dengan melakukan aktiviti risikan isyarat di Norway, termasuk pemantauan telefon (wiretapping), menurut laporan The Nordic Page.
Suspek berusia 25 tahun itu ditahan pada petang Jumaat oleh Perkhidmatan Perisikan Norway – PST.
Dalam pada itu, suspek turut menafikan dakwaan itu dan difahamkan perbuatannya dilaporkan tiada kaitan dengan Malaysia.
Menurut pihak berkuasa, bukti menunjukkan kereta sewa suspek direkodkan kamera pengawasan.
Pengintipan dipercayai dilakukan berhampiran lokasi penting, termasuk Kuarters Kerajaan, Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan.
Pegawai pendakwa polis di PST, Thomas Fredrik Blom, memaklumkan pihaknya masih dalam peringkat awal siasatan untuk mengumpul bukti.
Suspek, seorang pelajar yang tidak berdaftar di institusi pendidikan Norway, hanya berada di Norway untuk tempoh singkat.
Dia ditangkap pada 8 September dan kemudiannya ditahan selama empat minggu, dengan dua minggu pertama di dalam sel berasingan.
Pada masa sama, polis turut merampas pelbagai peranti pembawa data dan barangan elektronik daripada suspek.
Tuduhan terhadapnya adalah berdasarkan Seksyen 121 Kanun Jenayah, yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun bagi individu yang mengumpul atau memiliki maklumat rahsia yang boleh membahayakan kepentingan asas negara.
Pihak berkuasa mengesyaki mungkin terdapat lebih banyak individu yang terbabit dalam kes itu.
Sementara itu, suspek dilaporkan enggan memberikan sebarang kenyataan kepada PST dan peguam bela, Aase Karin Sigmond, menjelaskan dia berada dalam keadaan tidak sihat berikutan penahanan yang disifatkan ‘dramatik’. – AGENSI