comscore
Tumpuan :
Dunia

Pelajar Laung Bantahan Lawatan Presiden Iran di Universiti

Aktivis mendakwa pelajar perempuan di Tehran melaungkan perkataan ‘sesat’ ketika presiden Iran, Ebrahim Raisi melawat kampus universiti susulan bantahan kematian Amini. | Foto: AP

DUBAI: Aktivis mendakwa pelajar perempuan di Tehran melaungkan perkataan ‘sesat’ ketika presiden Iran, Ebrahim Raisi melawat kampus universiti, yang turut mengutuk penunjuk perasaan susulan kematian Mahsa Amini ketika wanita itu berada dalam tahanan polis.

Ketika demonstrasi di seluruh negara memasuki minggu keempat, Raisi hadir berucap di hadapan profesor dan pelajar di Universiti Alzahra di Tehran dengan membacakan puisi yang menyamakan ‘perusuh’ dengan lalat.

“Mereka membayangkan boleh mencapai matlamat jahat mereka di universiti, tetapi tanpa mereka sedar, pelajar dan profesor kami berwaspada dan tidak akan membenarkan musuh merealisasikan matlamat jahatnya,” lapor sebuah televisyen kerajaan.

Video yang disiarkan di Twitter oleh laman web aktivis 1500tasvir itu menunjukkan pelajar wanita melaungkan perkataan ‘Raisi tersesat’ dan ‘Mullah tersesat’ ketika presiden berkenaan melawat kampus mereka.

Kelmarin, media kerajaan melaporkan laporan bedah siasat menafikan Amini meninggal dunia akibat pukulan di kepala dan anggota badan ketika berada dalam tahanan polis moral dan mengaitkan kematian itu dengan keadaan perubatan yang sedia ada.

Kematian wanita Kurdish berusia 22 tahun itu mencetuskan demonstrasi di seluruh Iran, menghadirkan cabaran terbesar kepada pemimpin ulama negara itu.

Kaum wanita menanggalkan tudung mereka sebagai menentang penubuhan ulama, manakala orang ramai yang marah menyeru supaya Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei dijatuhkan.

Menurut kumpulan hak asasi manusia Iran Hengaw, selepas gesaan untuk mengadakan demonstrasi secara besar-besaran hari ini, pasukan keselamatan menembak penunjuk perasaan dan menggunakan gas pemedih mata di bandar Kurdish Sanandaj dan Saqez.

Hengaw mendakwa, di Sanandaj, ibu kota Wilayah Kurdistan seorang lelaki maut di dalam keretanya, manakala seorang wanita menjerit ‘tidak tahu malu’.

Salah satu sekolah di dataran bandar Saqez turut dipenuhi dengan gadis sekolah melaungkan ‘wanita, kehidupan, kebebasan’.

Amini sebelum ini ditahan di Tehran pada 13 September lalu atas kesalahan ‘pakaian yang tidak sesuai’ dan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Kumpulan hak asasi manusia berkata, lebih daripada 150 orang terbunuh manakala ratusan cedera dengan ribuan lagi ditangkap oleh pasukan keselamatan yang menghadapi protes. – AGENSI

Loading...
Terkini