comscore
Tumpuan :
Dunia

Pelajar 14 tahun tembak mati dua guru dan dua pelajar di Georgia

Orang ramai meletakkan jambangan bunga semasa menghadiri upacara berkabung di Taman Jug Tavern di Sekolah Tinggi Apalachee di Winder, Georgia, AS. – Foto: Reuters

WINDER: Polis menahan seorang remaja dalam satu insiden tembakan menyebabkan sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, termasuk dua pelajar dan dua guru di sebuah sekolah tinggi di Georgia pada Rabu.

Biro Siasatan Georgia berkata, suspek berusia 14 tahun, yang juga pelajar di sekolah itu, akan didakwa membunuh serta dibicarakan sebagai orang dewasa.

Selepas kes terbaharu dalam krisis keganasan senjata api di Amerika Syarikat (AS) itu, hampir 400 tembakan besar-besaran berlaku pada tahun ini saja.

Orang ramai berkumpul di padang sukan di luar Sekolah Tinggi Apalachee, dengan ada yang membentuk bulatan dengan tangan mereka saling berpegangan.

“Pegawai sumber sekolah kami berinteraksi dengannya,” kata pegawai polis daerah, Jud Smith kepada pemberita, merujuk kepada pegawai penguatkuasa undang-undang yang bekerja di sekolah AS.

“Penembak itu dengan cepat menyedari bahawa jika dia tidak menyerah, maka dia akan ditembak. Justeru, dia menyerah, berbaring di tanah dan timbalan kami menahannya,” katanya.

Beliau berkata, polis belum mengetahui sama ada penembak itu menyasarkan individu tertentu dan pihak berkuasa juga belum mengenal pasti senjata yang digunakan.

Kes tembakan itu berlaku berhampiran bandar Winder, kira-kira 70 kilometer (km) ke timur laut Atlanta.

Presiden AS, Joe Biden, berkata beliau berkabung atas kematian mangsa yang terbabit dan mengucapkan takziah kepada keluarga mereka.

“Pelajar di seluruh negara sedang belajar bagaimana untuk melindungi diri dan mengelakkan tembakan, berbanding belajar membaca dan menulis. Kita tidak boleh terus menerima ini sebagai sesuatu yang biasa,” katanya.

Bercakap di sebuah acara kempen di New Hampshire selepas kejadian tembakan itu, Naib Presiden, merangkap calon Presiden Demokrat, Kamala Harris, berkata sudah tiba masanya untuk mengakhiri ‘epidemik keganasan senjata’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini