Tumpuan :
Dunia

Pegawai kanan Presiden Korea Selatan yang dipecat letak jawatan beramai-ramai

Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol. – FOTO: Reuters

SEOUL: Pegawai kanan kepada Presiden Korea Selatan yang dipecat, Yoon Suk Yeol, hari ini menawarkan diri untuk meletak jawatan secara beramai-ramai.

Tindakan itu selepas pejabatnya menzahirkan kekesalan berhubung keputusan Presiden sementara, Choi Sang-mok, yang meluluskan pelantikan dua hakim baharu untuk mahkamah yang akan menentukan nasib Suk Yeol.

Ketua staf, ketua dasar, penasihat keselamatan negara serta penasihat khas hal ehwal luar dan keselamatan, termasuk semua setiausaha kanan yang lain sudah menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing.

Perkembangan itu dimaklumkan Pejabat Presiden dalam satu kenyataan tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Mengikut seorang pegawai presiden yang enggan dikenali, pegawai kanan kepada Suk Yeol sebelum ini berulang kali menyatakan niat mereka untuk meletak jawatan, namun ‘permohonan’ mereka tidak diterima.

‘Tawaran’ peletakan jawatan terbaru pegawai kanan kepada Suk Yeol itu menyusul selepas Sang-mok membuat kejutan apabila meluluskan dua pelantikan untuk mengisi kekosongan jawatan di Mahkamah Perlembagaan yang mengendalikan perbicaraan pemecatan Suk Yeol.

Keputusan itu meningkatkan jumlah hakim daripada lapan kepada sembilan ahli mahkamah.

Sebarang keputusan dalam kes Suk Yeol memerlukan persetujuan sekurang-kurangnya enam hakim.

Parti Kuasa Rakyat yang memerintah bertindak mengkritik keputusan Sang-mok sebagai ‘dogmatik’ dan tidak cukup rundingan.

Suk Yeol menghadapi siasatan berikutan dakwaan beliau mengetuai pemberontakan dan sebuah mahkamah daerah Seoul semalam meluluskan perintah penahanan terhadapnya, pertama kali berlaku ke atas seorang presiden yang masih berkhidmat. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini