DOHA: Pegawai Israel tiba di Doha, Qatar, semalam, untuk rundingan gencatan senjata di Gaza dan pertukaran tebusan antara Israel dan Hamas, sumber yang mengetahui rundingan itu memberitahu AFP.
“Pasukan teknikal Israel berada di Doha untuk membincangkan gencatan senjata dan perjanjian tebusan di Gaza,” kata sumber itu, dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana sensitiviti rundingan itu,
“Ini antara pasukan peringkat kerja Israel dan Qatar,” kata sumber itu, menunjukkan perbincangan bertujuan merapatkan jurang antara pihak.
Pertemuan itu susulan kunjungan David Barnea, yang mengetuai agensi perisikan Mossad, ke Doha, pada Rabu lalu, kata sumber itu, walaupun tiada tanda-tanda bahawa Barnea hadir pada mesyuarat berkenaan.
Qatar, bersama-sama dengan Amerika Syarikat dan Mesir, terbabit dalam rundingan di belakang tabir untuk gencatan senjata Gaza dan pembebasan tebusan, selama berbulan-bulan.
Tetapi selain daripada jeda seminggu dalam pertempuran akhir tahun lepas, yang mana berpuluh-puluh tebusan yang dikuasai Hamas dibebaskan sebagai pertukaran untuk rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel, rundingan berturut-turut gagal untuk menghentikan perang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.