BEIRUT: Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan pada Jumaat mengenai kesan serius operasi ketenteraan Israel terhadap orang awam di Lubnan, dengan memberi tumpuan kepada kerosakan pada tapak keagamaan dan budaya, lapor Xinhua.
Menurut pejabat PBB itu, sejak Oktober lepas, Israel telah memusnahkan atau merosakkan sekurang-kurangnya 10 masjid dan gereja. PBB menekankan bahawa di bawah undang-undang antarabangsa, serangan ke atas tapak keagamaan adalah dilarang.
PBB turut menyuarakan kebimbangan berhubung serangan berhampiran kompleks kuil purba yang disenaraikan sebagai tapak Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Baalbek, sambil menekankan bahawa undang-undang kemanusiaan antarabangsa menghendaki perlindungan tapak awam, kecuali jika penggunaan ketenteraan disahkan. Walaupun dalam kes sedemikian, ia menekankan serangan mesti seimbang dan dilaksanakan dengan berhati-hati.
Jeanine Hennis-Plasschaert, penyelaras khas PBB untuk Lubnan turut memberi amaran di media sosial mengenai risiko terhadap tapak warisan Lubnan di Tyre dan Baalbek, yang menempatkan runtuhan Rom kuno yang diiktiraf UNESCO.
“Warisan budaya Lubnan tidak sepatutnya menjadi satu lagi mangsa dalam konflik yang mengakibatkan kebinasaan ini,” katanya. – BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.