Tumpuan :
Dunia

PBB gesa bantuan luar AS diteruskan susulan Perintah Eksekutif Trump

DAVOS: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan berhubung pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump baru-baru ini mengenai pembekuan bantuan baharu kepada negara lain.

Melalui jurucakap PBB Stephane Dujarric, yang menyampaikan kegusaran Setiausaha Agungnya Antonio Guterres berkenaan kebimbangan terhadap pengumuman pembekuan bantuan luar AS.

Badan itu seterusnya menekankan peranan penting bantuan itu dalam menyokong populasi rentan di seluruh dunia.

Justeru, Guterres menyeru agar pengecualian tambahan dipertimbang bagi memastikan pelaksanaan berterusan aktiviti pembangunan dan kemanusiaan penting untuk masyarakat yang paling rentan di seluruh dunia, yang kehidupan dan mata pencarian bergantung kepada sokongan ini.

Dujarric turut mengulangi kepentingan untuk terbabit dalam libat urus dengan pentadbiran Trump untuk menangani cabaran global secara kolaboratif.

Pembekuan itu sebahagian daripada perintah eksekutif Trump minggu lalu, yang meminta semakan 90 hari terhadap perbelanjaan bantuan luar bagi menilai penjajarannya dengan keutamaan dasar luar AS.

Meskipun memo itu menggariskan pengecualian untuk Israel dan Mesir, yang masing-masing menerima AS$3.3 bilion dan AS$1.3 bilion dalam pembiayaan ketenteraan luar setiap tahun, bantuan kepada sekutu utama AS lain, termasuk Ukraine, Jordan dan Taiwan dilaporkan terjejas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini