NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa situasi di Lubnan kini mencapai tahap yang lebih buruk berbanding perang 2006.
Jurucakap PBB Stephane Dujarric dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, sektor kesihatan terus menjadi sasaran serangan tanpa henti dengan kemudahan, kakitangan dan sumber terperangkap dalam konflik, hingga menambah tekanan kepada infrastruktur kesihatan Lubnan yang sedia rapuh, lapor Agensi Berita Emiriah (WAM).
Dujarric merujuk kepada serangan udara Israel baru-baru ini berhampiran Hospital Kerajaan Tibnin di daerah Bint Jbeil, Nabatiyeh, yang menyebabkan kerosakan pada hospital dan puluhan orang cedera.
Beliau turut memetik laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini yang mencatatkan bahawa 110 pekerja kesihatan telah terkorban semasa bertugas di Lubnan.
Sekurang-kurangnya 60 serangan ke atas kemudahan kesihatan dilaporkan dalam tempoh 13 bulan yang lalu.
Jurucakap itu turut mengecam peningkatan angka kematian akibat serangan agresif Israel yang berterusan, pertempuran langsung di selatan Lubnan, serangan udara Israel di seluruh negara.
“Semua pihak mesti mematuhi undang-undang antarabangsa dan melindungi orang awam serta infrastruktur awam,” tegasnya.
Dujarric memuji usaha Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) yang termasuk penghantaran bekalan perubatan dan bahan api untuk penjana elektrik ke kem pelarian Palestin Burj Shimali di Tyre pada Isnin, sementara UNICEF (Tabung Kanak-Kanak PBB) turut mengagihkan bekalan kecemasan kepada lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang dipindahkan di bahagian lain Tyre.
Pada Sabtu, konvoi kemanusiaan mengagihkan makanan dan kit kebersihan kepada penduduk yang dipindahkan di pusat perlindungan di kawasan Baalbek-Hermel.
Sebuah konvoi juga membawa bekalan perubatan ke pusat kesihatan utama Labweh di kawasan Baalbek-Hermel pada Isnin.
“Kami menggesa semua pihak supaya menghentikan keganasan serta-merta. PBB terus menyokong usaha ke arah gencatan senjata dan penyelesaian diplomatik,” kata Dujarric. – BERNAMA-WAM
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.