Tumpuan :
Dunia

Pasukan pengaman PBB diserang 40 kali di Lubnan – UNIFIL

FOTO: REUTERS

BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dilaporkan telah diserang sebanyak 40 kali sejak 30 September, dengan lapan serangan disahkan datang dari pihak tentera rejim.

Jurucakap timbalan UNIFIL, Kandice Ardiel turut melaporkan satu lagi serangan Israel terhadap kumpulan itu, menuduh tentera Israel sengaja memusnahkan harta benda UNIFIL secara langsung dan mendakwa tindakan itu melanggar undang-undang antarabangsa.

UNIFIL menyatakan dalam kenyataannya bahawa Tentera Pertahanan Israel (IDF) menggunakan dua jengkaut dan satu bulldozer untuk merosakkan sebahagian pagar dan struktur konkrit di pangkalan UNIFIL di Ras Naqoura sehari sebelumnya.

Tentera Israel bagaimanapun menafikan sebarang serangantersebut, meskipun UNIFIL telah menerbitkan rakaman insiden tersebut dalam talian.

UNIFIL menyifatkan tindakan IDF sebagai pencabulan jelas terhadap undang-undang antarabangsa dan resolusi 1701, merujuk kepada resolusi Majlis Keselamatan PBB yang bertujuan mengakhiri perang 2006 antara Israel dan Hizbollah.

Sejak 30 September, IDF berulang kali meminta pasukan pengaman meninggalkan posisi mereka demi keselamatan berdekatan Garisan Biru, iaitu garis penarikan antara Israel dan Lubnan yang ditetapkan oleh PBB.

Walaupun berdepan tekanan yang tidak dapat diterima melalui pelbagai saluran, UNIFIL berkata akan terus menjalankan tugas pemantauan dan pelaporan yang diamanahkan di bawah resolusi 1701.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini