comscore
Tumpuan :
Dunia

Pasukan pengaman PBB di Lubnan kekal di markas sedia ada

FOTO: Reuters

NEW YORK: Pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di selatan Lubnan kekal di tempat mereka walaupun Israel meminta mereka berpindah.

Misi yang dikenali sebagai UNIFIL itu terus menjadi satu-satunya saluran komunikasi antara tentera kedua-dua negara, kata Ketua Pasukan Pengaman PBB, Jean-Pierre Lacroix, pada Khamis.

“Pasukan pengaman terus melakukan yang terbaik untuk melaksanakan mandat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dalam keadaan yang jelas sangat sukar.

“Kita juga sudah menyelaras pelan kontingensi bagi menghadapi sebarang kemungkinan, baik atau buruk,” katanya kepada pemberita.

UNIFIL diberi mandat oleh UNSC untuk membantu tentera Lubnan memastikan kawasan itu bebas daripada senjata dan anggota bersenjata selain daripada tentera kerajaan Lubnan.

Ia telah menimbulkan ketegangan dengan Hizbollah yang disokong Iran, yang menguasai kawasan selatan Lubnan.

Tentera Israel meminta pasukan pengaman PBB awal minggu ini untuk bersedia berpindah lebih daripada lima kilometer (km) dari sempadan antara Israel dan Lubnan, yang dikenali sebagai Garisan Biru.

‘Keluar secepat mungkin, untuk menjaga keselamatan anda’, menurut petikan mesej tersebut yang disaksikan oleh Reuters.

“Kesemua pasukan pengaman kini kekal di posisi mereka, pihak terbabit mempunyai kewajipan untuk menghormati keselamatan dan perlindungan pasukan pengaman, dan saya ingin menegaskan hal itu,” kata Lacroix kepada pemberita.

Lacroix berkata UNIFIL terus berhubung dengan kedua-dua negara, menggambarkan misi itu sebagai ‘satu-satunya saluran komunikasi antara mereka.

Misi tersebut sedang berusaha melindungi orang awam dan menyokong pergerakan selamat bagi orang awam serta penghantaran bantuan kemanusiaan.

Pasukan pengaman PBB beroperasi antara Sungai Litani di utara dan Garisan Biru di selatan.

Misi itu mempunyai lebih daripada 10,000 anggota tentera dari 50 negara dan kira-kira 800 kakitangan awam, menurut laman sesawangnya.

Tentera Israel mengarahkan penduduk di lebih daripada 20 bandar di selatan Lubnan untuk mengosongkan kediaman mereka segera pada Khamis ketika Israel meneruskan pencerobohan rentas sempadan dan menyerang sasaran Hezbollah di pinggir bandar Beirut. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini