comscore
Tumpuan :
Dunia

Pasangan kekasih mengaku cekik bayi hingga mati

SUWON/GEOJE: Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan pada Ahad atas tuduhan mencekik bayi mereka sehingga mati di bandar Geoje, Korea Selatan.

Wanita berusia 30-an dan pasangannya berusia 20-an itu didakwa mencekik bayi berusia lima hari sehingga mati dan menanam mayat bayi malang itu di kawasan pergunungan di Geoje, 331 kilometer di selatan Seoul.

Kedua-dua suspek sebelum ini mendakwa mereka menemukan jasad bayi itu pada 9 September lalu dan menanam mayat bayi berkenaan pada hari berikutnya, tetapi kemudian menukar pengakuan mereka dan mendakwa bayi itu dihanyutkan di sungai.

Ia adalah siri kes penderaan terhadap kanak-kanak terbaru selepas kerajaan melancarkan siasatan untuk memeriksa kesejahteraan lebih 2,000 bayi tidak berdaftar yang dilahirkan sejak 2015, susulan penemuan dua mayat bayi baru lahir di dalam peti sejuk bulan lalu.

Perbicaraan kes terhadap seorang lagi wanita yang dituduh membiarkan bayinya mati kebuluran pada 2019 sepatutnya berlangsung di Mahkamah Daerah Suwon, 30 kilometer selatan Seoul pada Ahad, tetapi suspek mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan.

Wanita berusia 20-an itu ditahan pada Jumaat atas tuduhan mengabaikan anaknya dan membiarkan anaknya mati kelaparan dengan tidak memberinya makan selama tiga hari di rumahnya di Daejeon, 139 kilometer di selatan Seoul, selepas melahirkan anak itu pada April 2019.

Mayat bayi itu masih belum ditemui, kata polis.

Pihak berkuasa pada mulanya melakukan siasatan di kawasan pergunungan berhampiran rumah suspek di Daejeon untuk mengesan mayat bayi itu selepas dia mendakwa menanamnya berhampiran rumah lamanya.

Dia berulang kali mengubah ceritanya, memberitahu polis lokasi yang berbeza.- BERNAMA-YONHAP

Loading...
Terkini