VILNIUS: Parti pembangkang Sosial Demokrat (SD) Lithuania mencatatkan kemenangan awal dalam pusingan kedua pilihan raya parlimen pada Ahad, dengan rakyat memberi tumpuan kepada kos sara hidup yang meningkat dan potensi ancaman dari negara jiran, Rusia.
Data rasmi kerajaan menunjukkan parti berhaluan kiri itu mendahului dengan 33 kerusi setelah 64 peratus undian dikira, ditambah dengan 20 kerusi yang diperoleh dalam pusingan pertama.
Selain itu, parti pemerintah, Homeland Union berada di belakang dengan hanya enam kerusi tambahan di pusingan ini, selain 18 kerusi yang diperoleh sebelumnya dalam dewan beranggotakan 141 orang.
Dalam sidang media di ibu pejabat SD, pemimpin parti , Vilija Blinkeviciute mengucapkan terima kasih kepada rakyat Lithuania atas sokongan besar yang diberikan.
“Keputusan pilihan raya menunjukkan bahawa rakyat Lithuania, sama ada di bandar besar, bandar kecil, atau desa, inginkan perubahan,” kata Blinkeviciute.
Beliau juga menegaskan keinginan rakyat untuk memiliki kerajaan yang mendengar masalah mereka tanpa sikap angkuh.
Pilihan raya kali ini menggunakan sistem pengundian hibrid, di mana separuh kerusi dipilih melalui undian popular, sementara baki kerusi diputuskan melalui undian pusingan kedua antara dua calon teratas, sistem yang sering menguntungkan parti-parti besar.
Jika berjaya membentuk kerajaan, SD dijangka akan mengekalkan pendirian keras Lithuania terhadap Rusia dan komitmen perbelanjaan pertahanan yang tinggi, iaitu sekitar 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini, menjadikannya antara penyumbang terbesar dalam NATO.
Pada pusingan pertama pada 13 Oktober, SD meraih 20 peratus undian, menjadikannya parti terbesar mengatasi Homeland Union dengan 18 peratus.
Sementara itu, Blinkeviciute telah memulakan rundingan untuk membentuk kerajaan majoriti bersama parti For Lithuania dan Farmers and Greens Union.
Kempen pilihan raya kali ini berfokus kepada isu nasional terutama ekonomi dalam negara, dengan SD berjanji untuk menangani ketidaksamaan melalui peningkatan cukai terhadap golongan kaya demi pembiayaan kesihatan dan sokongan sosial.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.