Tumpuan :
Dunia

Parlimen Korea Selatan sebulat suara undi batal undang-undang tentera

FOTO: Reuters

SEOUL: Parlimen Korea Selatan meluluskan usul menuntut Presiden Yoon Suk Yeol membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera.

Di bawah Perlembagaan, undang-undang tentera perlu dibatalkan apabila majoriti Ahli Parlimen menuntutnya.

Daripada 300 Ahli Parlimen, 190 hadir dalam sesi itu dan kesemuanya menyokong usul untuk menamatkan undang-undang tentera.

Menurut Sepaker Parlimen, dengan langkah itu, pengisytiharan undang-undang tentera kini terbatal.

Dalam satu pengumuman mengejut menerusi siaran langsung televisyen pada lewat Selasa malam, Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera, dengan menuduh pembangkang melumpuhkan kerajaan melalui aktiviti anti-negara yang merancang pemberontakan.

Yoon mendakwa, keputusan isytihar undang-undang tentera itu bertujuan membina semula dan melindungi negara yang dikatakan sedang berdepan cabaran besar.

Pengisytiharan itu membolehkan sekatan terhadap kebebasan tertentu, termasuk kebebasan akhbar, penerbitan, perhimpunan, serta kuasa kerajaan dan mahkamah.

Namun, ia boleh ditamatkan jika majoriti Ahli Parlimen menuntut pembatalannya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini