SEOUL: Paras laut Korea Selatan meningkat hampir 10 sentimeter (cm) sejak 33 tahun lalu akibat perubahan iklim, menurut data kerajaan pada Isnin.
Laut Timur menyaksikan peningkatan tertinggi sebanyak 3.53 milimeter (mm) setahun secara purata, diikuti oleh Laut Kuning dengan 3.08 mm dan laut selatan 2.55 mm setahun, lapor Agensi Berita Yonhap.
Analisis itu berdasarkan data yang dikumpul daripada 21 pos pemerhatian di kawasan pantai negara.
Berdasarkan data dari pos tertua di bandar barat daya Mokpo, paras laut meningkat 15.4 cm sejak 62 tahun lalu, atau 2.49 mm setahun, menurut Agensi Hidrografi dan Oseanografi Korea. – BERNAMA