
SEOUL: Panglima Tentera Udara Korea Selatan, Lee Young-su, menundukkan kepala dan memohon maaf secara terbuka pada Isnin (10 Mac) atas kejadian “tidak sepatutnya berlaku” minggu lepas, di mana dua pesawat pejuang tersilap menjatuhkan bom di sebuah perkampungan di Pocheon dan mencederakan sekurang-kurangnya 29 orang.
“Ia adalah kemalangan yang tidak sepatutnya berlaku, dan ia tidak seharusnya berlaku lagi,” kata Jeneral Lee Young-su dalam sidang media.
Lee mengambil tanggungjawab penuh atas insiden pengeboman tidak sengaja itu dan berjanji untuk mengambil langkah pencegahan agar ia tidak berulang.
Beliau turut berikrar untuk memberikan bantuan penuh kepada penduduk yang terjejas dengan menyediakan pampasan serta sokongan perubatan dan krisis.
Menurut siasatan awal Tentera Udara, kesilapan juruterbang dipercayai menjadi punca kejadian apabila seorang daripada mereka memasukkan koordinat salah sebelum berlepas.
Latihan ketenteraan tahunan Korea Selatan-AS bermula pada Isnin, walaupun latihan tembakan langsung masih digantung selepas kejadian tembakan tidak sengaja itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.