Tumpuan :
Dunia

Palestin sambut baik seruan Sepanyol hentikan eksport senjata ke Israel

Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki.- Foto: Reuters

ISTANBUL: Palestin menyambut baik seruan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez supaya menghentikan eksport senjata ke Israel di tengah serangan yang dilakukan ke atas Gaza dan Lubnan, lapor Agensi Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Palestin memaklumkan seruan Sanchez  selaras dengan undang-undang dan resolusi antarabangsa serta menyokong penyelesaian dua negara dan prinsip hak asasi manusia.

Perdana Menteri Sepanyol itu pada Jumaat menyeru masyarakat antarabangsa untuk menghentikan eksport senjata ke Israel, sambil menyatakan bahawa Sepanyol menghentikan penjualan senjata ke Israel pada Oktober 2023.

Kementerian itu turut menyalahkan negara-negara yang membekalkan senjata dan peralatan ketenteraan kepada Israel kerana menggalakkan Tel Aviv meneruskan jenayah dan pencabulan terhadap rakyat Palestin.

Kementerian turut menggesa negara-negara yang menandatangani Perjanjian Perdagangan Senjata untuk “bertindak tegas bagi menghentikan penggunaan senjata dan peralatan ketenteraan Israel dalam melakukan pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa, hak asasi manusia dan terhadap orang awam Palestin.”

Menurut data terkini dari Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm, Amerika Syarikat menyumbang 70.2 peratus daripada keperluan senjata konvensional Israel antara 2011 dan 2020, diikuti Jerman sebanyak 23.9 peratus dan Itali 5.9 peratus.

Pada April, Kongres AS meluluskan bantuan sebanyak AS$17 bilion kepada Israel sebagai sebahagian daripada pakej bantuan ketenteraan asing bernilai AS$95 bilion.

— BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini