ANKARA: Palestin memuji Ireland kerana menyertai kes genosid yang dibawa Afrika Selatan ke atas Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan menggesa lebih banyak negara untuk menyertai kes itu, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam kenyataan lewat Rabu, Kementerian Luar Palestin menyatakan bahawa keputusan Ireland itu mengesahkan “komitmen teguh Ireland terhadap keadilan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa, serta menonjolkan solidariti mendalam dan sejarah persahabatan” antara kedua-dua negara.
Kenyataan itu turut menyeru negara-negara pihak dalam Konvensyen Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid untuk “aktif dalam prosiding” kes Afrika Selatan di ICJ.
“Mengakhiri genosid yang berterusan terhadap rakyat Palestin dan menentang kekebalan Israel adalah tanggungjawab yang perlu kita galas bersama demi kepentingan kemanusiaan dan undang-undang,” kata kenyataan itu.
Pada Rabu, Menteri Luar Ireland Micheal Martin mengumumkan bahawa negaranya secara rasmi akan menyertai kes genosid Afrika Selatan ke atas Israel, sambil mengecam “hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin melalui niat dan kesan tindakan ketenteraan Israel di Gaza, yang menyebabkan 44,000 kematian dan berjuta-juta penduduk awam kehilangan tempat tinggal.”
Pada Oktober 2023, susulan serangan lintas sempadan oleh Hamas, Israel melancarkan perang yang disifatkan sebagai genosid di Semenanjung Gaza yang setakat ini telah meragut lebih 44,800 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan kini berdepan kes genosid di ICJ akibat serangan itu.
Bulan lepas, Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Setakat ini, lebih 10 negara, termasuk Turkiye, Sepanyol, dan Mexico, telah menyertai kes ICJ terhadap Israel. — BERNAMA-AA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.