RAMALLAH: Palestin melahirkan kekecewaan terhadap keputusan Rusia untuk membuka pejabat diplomatik di Baitulmaqdis.Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki, berkata keputusan itu boleh diambil kesempatan oleh negara lain yang menunggu peluang untuk mengikuti langkah sama.
Ujarnya, keputusan berkenaan dibuat tanpa penyelarasan dan memberi sebarang penjelasan terlebih dulu kepada pihak Palestin.
Pada 16 Jun lalu, kedutaan Rusia dan Kementerian Luar Israel mengumumkan Rusia akan membuka cawangan bahagian konsulatnya di Baitulmaqdis.
Menurut Israel, satu kawasan tanah yang terletak di penghujung Jalan King George dan Ma’alot di Baitulmaqdis akan digunakan untuk membina cawangan pejabat diplomatik terbabit.
Sejak sekian lama Palestin berjuang untuk menubuhkan sebuah negara merdeka dengan menjadikan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Palestin, namun Israel menganggap seluruh kawasan Baitulmaqdis sebagai ibu kota tempat berkenaan.
Baitulmaqdis adalah salah satu isu status terakhir bagi rundingan damai antara Palestin-Israel yang dihentikan sejak 2014.