Tumpuan :
Dunia

Pakatan Scholz ‘runtuh’, Jerman bakal hadapi pilihan raya tergempar

FOTO: Reuters

BERLIN: Pakatan pemerintah Jerman dibubarkan pada Rabu selepas Canselor Olaf Scholz memecat menteri kewangannya, Christian Lindner sekaligus membuka jalan untuk pilihan raya tergempar.

Pilihan raya itu juga mencetuskan kekacauan politik dalam konteks ekonomi Eropah.

Pembubaran itu berlaku hanya beberapa jam selepas kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat.

Selepas pemecatan Lindner dari Parti Demokrat Bebas (FDP), Scholz dijangka mengetuai kerajaan minoriti dengan Parti Demokratik Sosialnya (SPD) dan Parti Hijau, parti kedua terbesar di negara itu.

Scholz juga dijangka bergantung kepada sokongan parlimen interim untuk meluluskan undang-undang, dengan undi keyakinan dijadualkan pada 15 Januari depan yang berpotensi mencetuskan pilihan raya pada akhir Mac.

Scholz juga menyatakan akan meminta sokongan ketua pembangkang, Friedrich Merz yang kini mendahului dalam tinjauan pendapat, untuk meluluskan belanjawan dan meningkatkan perbelanjaan pertahanan.

Keputusan itu menutup pertikaian berkaitan dasar belanjawan dan hala tuju ekonomi Jerman, dengan populariti kerajaan semakin merosot serta peningkatan sokongan terhadap parti-parti populis kanan dan kiri.

Pemecatan Lindner berlaku sehari selepas Trump dilantik sebagai Presiden AS, di mana Eropah kini berusaha mencari pendekatan bersama mengenai tarif baharu AS, perang Rusia di Ukraine, dan masa depan pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Krisis itu berlaku di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi Jerman yang sedang bergelut dengan isu infrastruktur dan ketenteraan.

Sementara itu, Reuters melaporkan pakatan Scholz sedang bergelut mengenai cara terbaik untuk memulihkan ekonomi terbesar Eropah itu yang sedang menghadapi kemelesetan tahun kedua berturut-turut.

Scholz sebelum ini, mencadangkan had kos tenaga untuk meningkatkan daya saing Jerman sebagai destinasi pelaburan, termasuk pakej untuk menyokong industri automotif dan bantuan tambahan untuk Ukraine.

Sebaliknya, FDP menuntut pengurangan perbelanjaan awam, pemotongan cukai, dan pengurangan peraturan. FDP juga berpendirian untuk memperlahankan peralihan Jerman ke ekonomi karbon-neutral.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.v

Loading...
Terkini