RIYADH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak operasi ketenteraan di Gaza dihentikan serta-merta.
Sidang kemuncak tergempar OIC turut menolak alasan rejim Zionis Israel bahawa serangan terhadap rakyat Palestin sebagai mempertahan diri.
OIC dalam kenyataannya juga menuntut Mahkamah Jenayah Antarabangsa menyiasat jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan Israel di wilayah Palestin.
Sidang kemuncak pada Sabtu turut mengecam “pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza, jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai biadab dan tidak berperikemanusiaan,” kata kenyataan OIC.
Terdahulu, pemimpin Islam dan Arab dalam ucapan mereka pada sidang kemuncak tergempar itu mengutuk tindakan tidak bertamadun Israel di Gaza.
Sidang berkenaan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Raja Abdulaziz di Riyadh, dihoskan oleh Putera Mahkota Mohammed bin Salman, yang juga Perdana Menteri Arab Saudi.