JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk keras keputusan Knesset Israel meluluskan rang undang-undang melarang operasi Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Baitulmaqdis Timur yang diduduki, serta menarik balik keistimewaan dan kekebalan agensi itu.
Langkah itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB, yang juga sebahagian daripada usaha berterusan Israel untuk menghapuskan isu pelarian Palestin dan menafikan hak mereka untuk kembali ke tanahair sendiri.
Agensi Berita Saudi (SPA) melaporkan OIC memberi amaran, langkah ini akan memberi kesan serius terhadap keupayaan agensi itu untuk menyediakan perkhidmatan penting kepada pelarian Palestin.
OIC juga menegaskan, serangan berterusan Israel terhadap kemudahan, kakitangan, dan orang yang dipindahkan tidak akan melemahkan mandat antarabangsa UNRWA yang berasaskan resolusi Perhimpunan Agung PBB.
OIC turut menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan PBB agar menunaikan tanggungjawabnya melindungi UNRWA dan memastikan agensi itu terus menyediakan perkhidmatan penting kepada jutaan pelarian Palestin.
Masyarakat antarabangsa turut digesa menyokong penyelesaian adil dan dipersetujui berhubung isu pelarian Palestin, selaras dengan resolusi PBB berkaitan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.