comscore
Tumpuan :
Dunia

OIC kecam tindakan Israel, bimbang peningkatan keganasan terhadap Palestin

Keadaan masjid yang musnah dalam serangan Israel di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. – FOTO: Reuters

 

JEDDAH: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam serangan tentera Israel di Semenanjung Gaza yang mengorbankan ratusan rakyat Palestin dan mencederakan ribuan yang lain.

OIC juga menyalahkan Israel atas peningkatan ketegangan itu, sambil menambah pendudukan berterusan adalah punca ketidakstabilan.

Sekretariat Agung OIC juga menzahir kebimbangan terhadap perkembangan di lapangan dan peningkatan risiko bahaya dicetus Israel di wilayah Palestin yang diduduki.

Menurut OIC, pendudukan Israel yang berlarutan dan kegagalan untuk mematuhi resolusi legitimasi antarabangsa serta peningkatan kadar serangan dan jenayah harian terhadap rakyat Palestin, tanah dan kesucian mereka serta merampas hak sah mereka adalah sebab utama ketidakstabilan.

Justeru, OIC menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam menghentikan serangan Israel dan memberikan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin.

Ia juga menyeru majlis itu menaja proses politik yang boleh dipercayai untuk menamatkan pendudukan Israel dan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya mengikut sempadan pada 4 Jun 1967, dan mencapai perdamaian yang adil dan komprehensif berdasarkan visi penyelesaian dua negara bagi setiap resolusi legitimasi antarabangsa dan Inisiatif Keamanan Arab.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan sekurang-kurangnya 413 rakyat Palestin telah terbunuh manakala 2,300 lagi cedera ketika serangan Israel di Semenanjung Gaza memasuki hari kedua pada Ahad.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini