comscore
Tumpuan :
Dunia

Obama ucap terima kasih kepada Biden

Joe Biden dan Barack Obama. -FOTO: Reuters

WASHINGTON: Barack Obama mengucapkan terima kasih kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden susulan keputusannya mengundur diri daripada Pemilihan Semula AS November ini.

Dalam satu kenyataan di platform X, Obama berkata, Biden adalah seorang daripada Presiden AS yang berpengaruh, teman dan rakan kongsi yang dihormati olehnya.

“Hari ini, sekali lagi kita diingatkan bahawa dia adalah seorang patriot yang paling unggul.

“16 tahun lalu, ketika saya memulakan pencarian untuk seorang Naib Presiden, saya sudah mengetahui mengenai kerjaya Joe yang luar biasa dalam perkhidmatan awam. Namun, apa yang lebih saya kagumi adalah sifatnya — empatinya yang mendalam dan ketabahan; kemuliaan dan kepercayaannya bahawa setiap orang penting.

“Sejak mengambil alih jawatan, Presiden Biden membantu mengakhiri pandemik COVID-19, mencipta berjuta-juta pekerjaan, menurunkan kos ubat preskripsi, meluluskan undang-undang keselamatan senjata api pertama dalam 30 tahun, membuat pelaburan terbesar untuk menangani perubahan iklim dalam sejarah, dan berjuang untuk memastikan hak pekerja dan gaji yang adil.

“Di peringkat antarabangsa, beliau memulihkan kedudukan AS di dunia, menghidupkan semula NATO, dan menggerakkan dunia untuk menentang pencerobohan Russia di Ukraine,” katanya.

Obama berkata, rekod prestasi cemerlang memberikan Biden hak untuk bertanding semula dan menyelesaikan tugas yang dimulakannya.

Katanya, Biden lebih memahami kepentingan dalam pilihan raya dan segala yang diperjuangkan oleh Parti Demokrat akan berisiko jika membenarkan Donald Trump kembali ke White House.

“Saya juga tahu Biden tidak pernah berundur dari pergaduhan, baginya melihat landskap politik dan memutuskan bahawa beliau harus menyerahkan obor kepada calon baharu pastinya antara yang paling sukar dalam hidupnya.

“Tetapi saya tahu beliau tidak akan membuat keputusan ini melainkan percaya ia sesuai untuk AS dan ini adalah bukti cinta Joe Biden terhadap negara dan contoh bersejarah seorang penjawat awam yang tulen sekali lagi mengutamakan kepentingan rakyat AS berbanding kepentingannya sendiri yang patut diikuti oleh generasi pemimpin masa depan,” katanya.

Obama turut menzahirkan keyakinan pemimpin Parti Demokrat dapat membawa ke proses rundingan untuk bagi mencari calon yang cemerlang untuk bertanding.

“Saya percaya bahawa visi Joe Biden tentang AS yang murah hati, makmur dan bersatu yang memberi peluang kepada semua orang akan dipamerkan sepenuhnya di Konvensyen Demokrat pada bulan Ogos.

“Saya menjangkakan bahawa setiap daripada kita bersedia untuk membawa mesej harapan dan kemajuan ke hadapan ke November dan seterusnya,” katanya. – Agensi

Beliau yang juga bekas Presiden AS, bagaimanapun tidak mengesahkan sebarang sokongan kepada Kamala Harris, calon dicadang Biden untuk bertanding sebagai Presiden melawan Donald Trump dan memimpin Parti Demokrat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini