comscore
Tumpuan :
Dunia

[VIDEO] Nurul Ain, suami selamat dibawa keluar dari Gaza

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia, Nurul Ain Haron selamat dibawa keluar dari zon konflik Gaza melalui lintasan sempadan Rafah pada jam 8.23 malam waktu tempatan semalam (2.23 pagi waktu Malaysia hari ini).

Wisma Putra yang mengesahkan perkara itu menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan, ketibaan Nurul Ain dan suaminya warganegara Palestin, Mohamed A.M. Shaat di lintasan itu telah dimudah cara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah, Zamani Ismail bersama pegawai kedutaan lain.

“Sejurus selepas Nurul Ain dan suami tiba di lintasan sempadan Rafah, beliau telah dihubungi oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Luar (Datuk Seri Zambry Abd Kadir) untuk bertanya khabar melalui panggilan video,” menurut kenyataan itu.

Tambah kenyataan sama, tindakan evakuasi dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara Anwar dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi semasa lawatan kerja Perdana Menteri ke republik tersebut 23 Oktober lalu, serta penyelarasan lanjut Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman.

Nurul Ain, 37, yang berasal dari Keramat, Kuala Lumpur, pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Gaza pada 1 Oktober lalu bersama suaminya, Mohamed A.M. Shaat, 33, selepas enam tahun berkahwin untuk menziarahi mentua.

Pasangan ini yang menetap di Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu dijadual meninggalkan Gaza pada 25 Oktober melalui sempadah Rafah menuju ke Mesir sebelum menaiki penerbangan ke UAE hari berikutnya.

Namun mereka terkandas di Khan Younis susulan tercetusnya konflik antara pejuang Hamas dengan tentera zionis.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka berdua.

“Kementerian Luar ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Mesir, Kerajaan Qatar, Kedutaan Besar Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang telah diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza dengan selamat,” menurut kenyataan itu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini