comscore
Tumpuan :
Dunia

New Zealand siasat insiden karam Kapal Tentera laut di Samoa

Foto: Reuters

WELLINGTON: Angkatan Pertahanan New Zealand (NZDF) pada Khamis mengumumkan butiran mengenai Siasatan Mahkamah (COI) berhubung insiden kapal tentera laut yang karam berhampiran pantai selatan Upolu di Samoa, lapor Xinhua.

Kapal HMNZS Manawanui, dengan muatan 5,741 tan melanggar terumbu dan terkandas di perairan Samoa pada Sabtu lalu semasa menjalankan tinjauan hidrografi, kira-kira satu batu nautika dari pantai.

Kesemua 75 anak kapal berjaya diselamatkan.

COI yang akan bersidang pada Jumaat akan mengumpul dan merekodkan bukti serta melaporkan urutan peristiwa itu. Ia juga akan memberikan butiran mengenai prosedur pemberitahuan, kecederaan yang dialami dan sebarang kerosakan alam sekitar, menurut kenyataan NZDF.

Dibina pada 2003, kapal sepanjang 84.7 meter dan lebar 18 meter itu berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja New Zealand sejak 2019.

Kapal ini digunakan untuk misi menyelam khusus, penyelamatan, serta tinjauan hidrografi di sekitar New Zealand dan di Lautan Pasifik Barat Daya.

Ia juga boleh menyokong misi untuk membersihkan sisa letupan perang di Pasifik Selatan, menurut NZDF.

— BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini