WELLINGTON: Kerajaan New Zealand akan menarik balik beberapa sekatan terakhir COVID-19 mulai tengah malam Selasa, sekaligus menamatkan sekatan pandemik paling ketat di dunia selepas lebih tiga tahun.
Menteri Kesihatan, Ayesha Verrall berkata dalam satu kenyataan, bermula Selasa orang ramai tidak perlu lagi memakai pelitup muka di kemudahan penjagaan kesihatan atau mengasingkan diri selama tujuh hari selepas dijangkiti virus itu.
Ulasnya, walaupun bilangan kes akan terus turun meningkat, pihaknya tidak menjangkakan kemuncak COVID-19 seperti tahun lalu.
Ini beserta dengan tahap imuniti penduduk, kini berada pada kedudukan selamat untuk menamatkan sekatan COVID-19.
Kebanyakan sekatan telah ditamatkan tahun lalu selepas kadar vaksinasi mencapai tahap tinggi dan perkhidmatan kesihatan negara itu berjaya melalui musim sejuk tanpa dibebani peningkatan kes.
Meskipun pengendalian pandemik oleh kerajaan New Zealand diiktiraf secara global kerana mengekalkan kadar jangkitan dan kematian pada paras yang rendah, ia dikritik penduduk tempatan kerana sekatan berpanjangan, termasuk penutupan sekolah dan sempadan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Chris Hipkins menyifatkan penamatan rasmi sekatan adalah satu pencapaian penting.
Walaupun tidak lagi wajib, Kementerian Kesihatan New Zealand masih mengesyorkan agar orang ramai berada di rumah selama lima hari jika tidak sihat atau diuji positif virus berkenaan.