Tumpuan :
Dunia

New Zealand bimbang PM Kepulauan Cook rancang tandatangani perjanjian dengan China

Perdana Menteri Kepulauan Cook, Mark Brown. – Foto: REUTERS

WELLINGTON: Kebimbangan semakin meningkat di New Zealand apabila Perdana Menteri Kepulauan Cook mengadakan lawatan ke China pada minggu ini untuk menandatangani perjanjian tanpa berunding dengan New Zealand, walaupun kedua-dua negara mempunyai hubungan perlembagaan.

New Zealand semakin bimbang terhadap kehadiran China yang semakin berkembang di rantau Pasifik dan ancaman yang mungkin timbul kepada keselamatan negara itu.

Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon berkata pihaknya mengharapkan ketelusan dan perundingan dengan Kepulauan Cook selepas Perdana Menteri Kepulauan Cook, Mark Brown menyatakan beliau pergi ke China bagi mendapatkan kerjasama dalam pembangunan negara termasuk infrastruktur, perdagangan dan ekonomi.

Kepulauan Cook adalah negara yang mempunyai pemerintahan sendiri tetapi bersekutu secara bebas dengan New Zealand yang menyediakan sokongan dana dan komited untuk mempertahankan negara Pasifik Selatan itu, di mana rakyatnya adalah warga negara New Zealand.

Menurut Luxon, berdasarkan susunan perlembagaan New Zealand, pihaknya menjangkakan semua perkara berkaitan pertahanan dan keselamatan dibincangkan secara telus antara rakan kongsi dan itu sahaja yang pihaknya mahu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Winston Peters, berkata New Zealand sudah berulang kali meminta Kepulauan Cook untuk berkongsi atau berunding mengenai kandungan perjanjian yang dirancang untuk ditandatangani oleh Brown dengan China, tetapi belum menerima maklum balas yang sewajarnya.

Dalam pada itu, Brown dalam satu kenyataan video yang disiarkan di laman Facebook Cook Islands Television News, pada Jumaat lalu, berkata kepada mereka yang mengatakan bahawa pembabitan Kepulauan Cook dengan China adalah secara rahsia dan menolak dakwaan itu sepenuhnya.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran lanjut mengenai perjanjian itu. Penduduk Kepulauan Cook turut mempersoalkan sikap berahsia mengenai perjanjian itu.

Ketua Parti Pembangkang dari Parti Demokratik, Tina Browne, memberitahu stesen radio 531PN yang berpangkalan di New Zealand bahawa rakyat lebih bimbang mengenai kurangnya perundingan berhubung isu pasport Kepulauan Cook, berbanding perjanjian dengan China. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini