Tumpuan :
Dunia

Netanyahu hantar wakil ke Qatar bincang gencatan senjata Gaza

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah mengarahkan delegasi yang terdiri daripada pegawai kanan untuk ke Qatar bagi meneruskan rundingan mengenai pembebasan tebusan dan gencatan senjata di Gaza.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabatnya semalam, keputusan itu dibuat selepas Netanyahu mengadakan mesyuarat dengan Steven Witoff, utusan khas Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, serta pegawai kanan Israel.

Arahan tersebut melibatkan ketua agensi perisikan Mossad dan Shabak, Jeneral Nitzan Alon, serta penasihat dasar luar, Ophir Falk, yang akan ke Doha untuk rundingan tersebut.

AS telah menjadi perantara dalam rundingan bersama Qatar dan Mesir selama setahun bagi mengakhiri konflik di Gaza serta membebaskan tebusan. Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang menyambut baik langkah ini, menyifatkannya sebagai peluang penting untuk mencapai pembebasan tebusan.

Rundingan tidak langsung antara Israel dan Hamas kembali berlangsung hujung minggu lalu di Qatar. Difahamkan, perbincangan kini memberi tumpuan kepada pembebasan segera tebusan yang ditawan Hamas semasa peperangan Israel-Palestin pada 7 Oktober 2023.

Presiden Joe Biden baru-baru ini menyatakan terdapat kemajuan dalam rundingan, sementara Trump menegaskan akan ada “kesan serius” jika tebusan tidak dibebaskan sebelum majlis angkat sumpahnya. Hamas didakwa menahan 251 tebusan, dengan 94 daripadanya masih berada di Gaza, termasuk 34 individu yang disahkan mati oleh tentera Israel.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini