Tumpuan :
Dunia

Nenek 81 tahun cipta sejarah dinobat anugerah pakaian terbaik dalam Miss Universe Korea

Choi akhirnya berjaya memenuhi impian masa mudanya untuk bergelar model fesyen meskipun mengambi masa lima dekad.

SEOUL: Seorang nenek mengambil masa selama lima dekad untuk merealisasikan impiannya menjadi model fesyen sekaligus melakar sejarah sebagai peserta paling tua dalam satu pertandingan ratu cantik, Miss Universe Korea.

Choi Soon-hwa, 81, mula memasang angan-angan bergelar model pada ketika berusia 20 an, namun atas faktor desakan hidup, impian itu terpaksa dilupakan kerana perlu bekerja untuk menjaga anak-anak dan memenuhi komitmen kewangan.

Tampil dengan gaya rambut berwarna perak, Choi mencipta sejarah sebagai peserta tertua dalam pertandingan Miss Universe Korea.
Ia selepas pihak penganjur menghapuskan had umur yang sebelum ini hanya membenarkan wanita berusia 18-28 tahun untuk mengambil bahagian.

“Setelah mendengar bahawa had umur telah dibuang, saya fikir – wow, itu hebat. Saya tidak boleh melepaskan peluang ini,” kata Choi.
Walaupun beliau tidak memenangi pertandingan, Choi berjaya ke peringkat akhir dan menerima anugerah ‘Pakaian Terbaik’ dalam kalangan pesaing yang lebih muda.

Pada usia muda, dia bekerja sebagai penjaga di hospital sebelum impiannya menjadi kenyataan selepas salah seorang pesakitnya mencadangkan agar beliau memohon untuk menjadi model senior ketika berusia 72 tahun.

Choi menunjukkan gambar dia ketika di usia muda.

Mendaftar di sebuah akademi pemodelan, Choi menceritakan bagaimana ketika malam yang sunyi di hospital, dia berlatih berjalan di atas pentas dan memberikan pose di depan cermin.

Dalam pada itu, Yun Mi-young, 59, yang juga seorang model senior, berkata dia terinspirasi oleh Choi.

“Pertama kali saya melihatnya di televisyen, dia kelihatan sangat hebat. Saya fikir, saya mahu menjadi model senior seperti dia,” katanya.

Choi juga berkongsi tips tentang cara mengekalkan bentuk badan, termasuk memulakan setiap hari dengan sarapan sihat dengan sajian telur rebus dan buah-buahan, serta berjalan kaki secara berkala di taman berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini