BRUSSELS: Undang-undang pengecas sejagat Kesatuan Eropah (EU) mula berkuat kuasa hari ini, mewajibkan kebanyakan peranti elektronik baharu yang dijual di EU menggunakan hanya pengecas USB-C.
Peraturan baharu itu menjadikan penyambung USB-C yang digunakan oleh peranti berasaskan Android sebagai standard di seluruh 27 negara anggota EU, memaksa Apple menukar port pengecasan untuk iPhone dan peranti lain.
Reformasi itu diluluskan dengan majoriti besar di Parlimen Eropah pada Oktober 2022, menjadikannya yang pertama seumpamanya di dunia.
Saiz pasaran EU yang besar dijangka mendorong perubahan serupa di negara lain.
Dalam hantaran media sosial, Parlimen Eropah menyatakan bahawa undang-undang itu akan membawa manfaat kepada pengguna dan alam sekitar.
Mulai sekarang, semua telefon mudah alih, tablet, kamera digital, fon kepala, pembesar suara, papan kekunci, dan pelbagai peranti elektronik lain yang dijual di EU mesti dilengkapi port pengecasan USB Type-C, tanpa mengira jenama pengeluar.
Semasa sesi undian pada 2022, Alex Agius Saliba, perangka undang-undang pengecas sejagat berkata keputusan itu bagi menggantikan timbunan pengecas.
“Penyelesaian mudah seperti ini setiap tahun akan menjimatkan ribuan tan sisa elektronik, memudahkan penggunaan semula peranti lama, meningkatkan kemudahan pengguna, mengurangkan kos tidak perlu, dan membantu menjimatkan berjuta-juta euro,” katanya.
Langkah itu juga dijangka mengurangkan kos dan meningkatkan kebolehgunaan bagi pengguna, di samping menyumbang kepada usaha melindungi alam sekitar dengan mengurangkan sisa elektronik.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.