comscore
Tumpuan :
Dunia

Negara Arab kecam tuduhan Netanyahu terhadap Mesir, halang usaha gencatan senjata

Foto fail Reuters

ISTANBUL: Jordan, Qatar, Palestin dan Kuwait mengecam tuduhan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Selasa bahawa senjata diseludup kepada kumpulan pejuang Hamas melalui sempadan Mesir, lapor Agensi Anadolu (AA).

Kementerian Luar Jordan menolak kenyataan Netanyahu mengenai Koridor Philadelphia – kawasan bebas tentera di sepanjang sempadan Mesir dengan Gaza dan menyifatkannya sebagai “dakwaan tidak berasas bertujuan menghalang usaha pengantaraan oleh Mesir, Qatar, dan Amerika Syarikat (AS) untuk mencapai perjanjian pertukaran yang membawa kepada gencatan senjata kekal di Gaza.”

Jordan turut mengesahkan “solidariti penuh dengan Mesir dalam menghadapi semua tuduhan Israel.”

Kementerian itu juga menolak “semua tuduhan yang dipromosikan oleh pegawai Israel dalam usaha sia-sia untuk membenarkan pencerobohan Israel ke atas Gaza dan Tebing Barat yang diduduki,” dan menganggap tuduhan itu sebagai “hasutan yang boleh dikecam serta tindakan yang meningkatkan ketegangan serius di rantau ini.”

Netanyahu mengulangi keengganannya untuk menarik balik tentera Israel dari Koridor Philadelphia pada Isnin.

Sementara itu, Kementerian Luar Qatar menyatakan “solidariti penuh dengan Mesir” dan menolak kenyataan Perdana Menteri Israel yang disifatkan sebagai usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat Israel dan menghalang usaha pengantaraan bersama yang bertujuan mencapai gencatan senjata di Gaza serta pertukaran tahanan.

“Kecenderungan pendudukan Israel yang cuba memalsukan fakta dan mengelirukan pendapat umum dunia dengan mengulang pembohongan hanya akan menyebabkan usaha damai gagal dan meluaskan lagi keganasan di rantau ini,” menurut kenyataan kementerian itu.

Ia turut menekankan keperluan untuk “mengukuhkan usaha serantau dan antarabangsa bagi memaksa Israel segera menamatkan pencerobohan kejamnya di Gaza, sebagai persediaan untuk menangani situasi kemanusiaan yang buruk di wilayah itu.”

Presiden Palestin juga mengecam “kenyataan Netanyahu yang bertujuan untuk membenarkan pencerobohan berterusan terhadap rakyat kami.”

Pihaknya turut mengucapkan penghargaan kepada “peranan Mesir dalam menentang perpindahan rakyat Palestin dari tanah mereka.”

“Sempadan Palestin-Mesir adalah sempadan yang berdaulat,” menurut kenyataan itu, sambil menolak kehadiran tentera Israel di Koridor Philadelphia atau di lintasan Rafah di selatan Gaza.

Kepresidenan Palestin turut memuji “usaha berterusan Mesir untuk mencapai keamanan dan kestabilan di rantau ini,” dan menghargai “usaha Mesir, Qatar, dan Jordan untuk menjamin gencatan senjata serta menamatkan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin, termasuk penarikan segera dan menyeluruh dari Gaza dan menghalang perpindahan rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis.”

Kuwait turut menyatakan solidaritinya dengan Mesir dan negara Arab lain terhadap kenyataan Netanyahu.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Kuwait menuduh Israel cuba “menghalang usaha pengantaraan bersama oleh Mesir, Qatar, dan AS yang bertujuan mencapai gencatan senjata di Gaza.”

Kaherah menuduh Netanyahu “cuba melibatkan Mesir untuk mengalihkan perhatian pendapat umum Israel dan menghalang perjanjian pertukaran tawanan serta gencatan senjata, selain menggagalkan usaha pengantaraan oleh Mesir, Qatar, dan AS.”  – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini