BEIRUT: Pengerusi Hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Nawaf Salam, dilantik sebagai Perdana Menteri baharu Lubnan.
Pemilihan Nawaf dibuat oleh Presiden Lubnan, Joseph Aoun untuk membentuk kerajaan baharu dengan misi membawa negara itu keluar daripada krisis ekonomi.
Beliau yang juga pakar undang-undang antarabangsa itu mendapat 84 sokongan Ahli Parlimen untuk memegang portfolio tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas Presiden mengadakan perbincangan dengan Ahli Parlimen dan menyatakan harapannya agar kerajaan baharu dapat dibentuk dengan lancar dan segera.
Lubnan kini menghadapi cabaran besar termasuk krisis kewangan terburuk dalam sejarah negara itu serta kerosakan besar akibat perang Israel-Hizbullah yang tercetus sejak tahun lalu.
Pakar hubungan antarabangsa dan geopolitik dunia melihat sebahagian cabaran utama Nawaf termasuk melaksanakan reformasi ekonomi bagi memenuhi syarat penyumbang antarabangsa serta membina semula kawasan yang terjejas akibat peperangan.
Selain itu, perdamaian turut menjadi fokus yang diletakkan di bahu Nawaf, dengan perjanjian gencatan senjata 27 November lalu memerlukan Hizbullah menarik balik pejuangnya dari kawasan selatan, sementara tentera Lubnan dan pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengambil alih kawalan di kawasan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.