comscore
Tumpuan :
Dunia

NATO tawar harapan keanggotaan Ukraine, tetapi tiada jemputan rasmi

FOTO: Reuters

VILNIUS: Negara NATO berkata, “masa depan Ukraine adalah dalam NATO” tetapi perikatan itu tidak menawarkan jemputan keanggotaan rasmi kepada Kyiv pada sidang kemuncak pakatan tentera itu di sini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

NATO “akan berada dalam kedudukan untuk menyampaikan jemputan kepada Ukraine untuk menyertai perikatan berkenaan dengan persetujuan negara anggota dan memenuhi syarat ditetapkan”, menurut deklarasi sidang kemuncak itu pada Selasa.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky telah berulang kali merayu kepada sekutunya untuk secara rasmi menjemput Ukraine menyertai NATO, langkah pertama yang diperlukan untuk memulakan prosedur penyertaan dalam pakatan itu.

Tetapi sebaliknya, pemimpin perikatan itu ‘mengikat’ potensi jemputan untuk tentera Ukraine menjadi lebih serasi dengan angkatan bersenjata sekutu NATO dan “pembaharuan sektor demokrasi dan keselamatan tambahan”, menurut deklarasi itu.

Bagaimanapun, perikatan itu mengesahkan semula bahawa “masa depan Ukraine adalah dalam NATO”.

Keputusan sidang kemuncak itu berpotensi mengecewakan Zelensky, yang pada awal Selasa berkata adalah “tidak masuk akal” untuk membiarkan persoalan keanggotaan Ukraine tergantung.

Zelensky bertemu pemimpin NATO pada lewat Selasa. Perikatan itu akan menyokong Kyiv dalam haluan pembaharuannya, dengan menteri luar NATO secara kerap menilai kemajuan Ukraine.

Pemimpin NATO juga bersetuju dengan pakej sokongan jangka panjang untuk Kyiv, mengeratkan hubungan politik dan mempercepatkan penyertaan Ukraine sebaik sahaja jemputan rasmi dikeluarkan, menurut kenyataan itu. – BERNAMA-dpa

Loading...
Terkini