WASHINGTON: Nasib TikTok di Amerika Syarikat menunjukkan perubahan positif selepas beberapa pegawai kerajaan mencadangkan supaya pemilik aplikasinya dari China, ByteDance, diberi lebih masa menjual TikTok kepada pembeli bukan China.
Langkah itu bertujuan mengelakkan aplikasi itu dilarang atas alasan keselamatan negara, sejajar dengan undang-undang yang diluluskan sebelum ini.
Penasihat keselamatan negara Trump yang bakal dilantik, Mike Waltz berkata, pentadbiran baharu Republikan akan memastikan aplikasi media sosial yang digunakan oleh 170 juta rakyat Amerika itu kekal beroperasi di negara itu sekiranya ada perjanjian yang kukuh.
Ketua Demokrat Senat, Chuck Schumer, turut menggesa Presiden Joe Biden supaya melanjutkan tempoh 90 hari bagi tarikh akhir penutupan aplikasi itu pada Ahad ini.
Sebelum ini, undang-undang yang diluluskan pada April lalu mewajibkan pemilik TikTok, ByteDance untuk melupuskan aset TikTok di Amerika Syarikat kepada pembeli bukan China atau berdepan larangan atas alasan keselamatan negara.
“Kami akan mengambil langkah untuk memastikan TikTok tidak dihentikan,” kata Wakil Rakyat AS, Mike Waltz kepada Fox News, merujuk kepada peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan lanjutan tempoh selama 90 hari jika aterdapat “kemajuan ketara” ke arah pelupusan aset.
“Langkah ini pada dasarnya memberi Presiden Trump masa untuk memastikan TikTok terus beroperasi,” kata Waltz.
Mahkamah Agung AS kini sedang mempertimbangkan sama ada untuk menguatkuasakan undang-undang yang akan membenarkan larangan TikTok jika asetnya tidak dilupuskan, membatalkan undang-undang itu, atau menangguhkannya bagi memberi lebih masa kepada hakim untuk membuat keputusan.
Sebelum ini, mahkamah menyatakan ia mungkin mengeluarkan keputusan tidak lama lagi, tetapi seperti biasa, tidak menyebut kes mana yang akan diputuskan.
Trump sebelum ini menyokong larangan terhadap aplikasi itu, tetapi mengubah pendirian tahun lalu.
Perubahan sikapnya berlaku ketika sokongan terhadap kempen presidennya semakin meningkat dalam kalangan eksekutif teknologi serta pendekatan daripada penderma Republikan, Jeff Yass, yang memiliki saham besar dalam ByteDance.
Sebagai tanda hubungan semakin baik antara Trump dan TikTok, Ketua Pegawai Eksekutif aplikasi video itu, Shou Zi Chew, dijangka menghadiri majlis perasmian pelantikan presiden pada 20 Januari ini.
Menurut dua sumber yang rapat dengan perkara itu, Zi Chew akan ditempatkan di pentas utama bersama tetamu terkemuka lain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.