ISTANBUL: Azerbaijan pada Ahad mendesak Rusia mengakui kesalahan, menghukum pihak yang bertanggungjawab, dan membayar pampasan susulan nahas pesawat penumpang negara itu di Kazakhstan, lapor Agensi Anadolu (AA).
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev, dalam kenyataan di Baku, mendedahkan bahawa pesawat Azerbaijan Airlines (AZAL) yang terhempas berhampiran bandar Aktau, Kazakhstan, mengalami kerosakan teruk akibat tembakan dari darat dan hampir kehilangan kawalan disebabkan peperangan elektronik.
“Fakta menunjukkan pesawat awam Azerbaijan mengalami kerosakan dari luar ketika berada di wilayah Rusia, berhampiran Grozny, dan hampir hilang kawalan. Kami juga mengetahui bahawa pesawat itu menjadi tidak terkawal akibat peperangan elektronik,” ujarnya.
Pesawat AZAL, yang dalam perjalanan dari Baku ke Grozny di Republik Chechen, Rusia, dilaporkan terhempas tiga kilometer dari Aktau di pantai Laut Kaspia pada Rabu.
Menurut pihak berkuasa Kazakhstan, 38 orang terbunuh dalam nahas melibatkan pesawat Embraer 190 yang membawa 67 penumpang itu, sementara 29 lagi terselamat. Siasatan mengenai insiden ini sedang dijalankan di Azerbaijan dan Kazakhstan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.