Tumpuan :
Dunia

Nahas pesawat kecil di Sudan ragut 20 nyawa

FOTO: Reuters

SUDAN SELATAN: Sebuah pesawat kecil yang membawa pekerja syarikat minyak terhempas semalam, semasa berlepas dari lapangan terbang, mengorbankan 20 orang, kata Menteri Maklumat wilayah itu.

Pesawat itu berlepas menuju ke ibu negara Juba sebelum terhempas, kata Gatwech Bipal.

Penumpang terdiri daripada pekerja minyak syarikat Greater Pioneer Operating Company (GPOC), sebuah konsortium yang merangkumi China National Petroleum Corporation dan syarikat milik negara Nile Petroleum Corporation, tambahnya.

Antara mangsa yang terkorban termasuk dua warga China dan seorang warga India.

Gambar yang dimuat naik di akaun media sosial rasmi gabenor negeri menunjukkan serpihan pesawat dengan kapsyen menyatakan bahawa Gabenor Justice Riek Bim Top Long melawat lokasi nahas untuk menyelia pemindahan mayat mangsa sebelum dihantar ke Juba.

Presiden Salva Kiir berkata jurutera dan kakitangan teknikal adalah antara yang terkorban dan beliau berjanji akan menjalankan siasatan menyeluruh serta pantas bagi menentukan punca nahas. REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini