WASHINGTON: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengesahkan penemuan 55 mayat daripada 67 mangsa yang terkorban dalam perlanggaran udara antara sebuah pesawat penumpang American Airlines dan helikopter tentera AS di Sungai Potomac, minggu lalu.
Dalam sidang media yang diadakan hari ini, Penolong Ketua Jabatan Bomba Washington D.C., Gary Steen, berkata operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan pelbagai agensi terus giat dijalankan bagi mengenal pasti baki mangsa yang masih hilang.
“Sepanjang hari ini, pasukan kami bersama rakan kerjasama serantau telah berusaha keras dalam operasi pemulihan. Sehingga kini, sebanyak 55 mayat telah dikenal pasti. Selain itu, serpihan mayat tambahan turut ditemui dan sedang melalui proses pengesahan oleh Pejabat Ketua Pemeriksa Perubatan D.C.,” katanya.
Sementara itu, Pasukan Kejuruteraan Kor Tentera AS memulakan operasi mengangkat serpihan pesawat dari sungai seawal pagi semalam.
Menurut Komander Kor Kejuruteraan ke-249, Kolonel Frank Pera, usaha itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu.
“Kami berjaya mengeluarkan salah satu daripada dua enjin pesawat sekitar jam 10 pagi, sayap pesawat pula mula dinaikkan pada jam 2.30 petang,” katanya.
Tambahnya, pasukan penyiasat juga sedang meneliti keadaan cuaca, terutamanya tiupan angin, yang boleh memberi kesan kepada usaha pemulihan bangkai pesawat.
Sementara itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dijangka mengeluarkan data radar berkaitan nahas itu hari ini.
Bagaimanapun, punca sebenar perlanggaran udara tragik itu masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.