Tumpuan :
Dunia

Nahas helikopter di Kuta Selatan disebabkan tersangkut pada tali layang-layang

Foto Agensi

JAKARTA: Tiga rakyat Indonesia dan dua warga Australia terselamat dalam nahas helikopter di Kuta Selatan dekat Badung, Bali, Indonesia, petang semalam.

Memetik laporan oleh Jakarta Post, nahas dilaporkan berlaku selepas helikopter itu tersangkut pada tali layang-layang.

Menurut jurucakap agensi mencari dan menyelamat Denpasar, Nyoman Sidakarya, helikopter itu berlepas dari Garuda Wisnu Kencana untuk meninjau sekitar Bali, pada 2.33 petang, tetapi dilaporkan terhempas lima minit kemudian di Kampung Pecatu.

Juruterbang, anak kapal dan seorang penumpang, yang semuanya warga Indonesia, dan dua penumpang warga Australia, cedera, sebelum dikejarkan ke hospital.

“Semua mangsa terselamat dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” kata Sidakarya.

Menurut agensi berita Xinhua, dua individu mengalami kecederaan serius, manakala tiga lagi cedera ringan.

Sementara itu, jurucakap Direktorat Kanan Pengangkutan Udara dan Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan berkata, kejadian itu berlaku selepas helikopter itu terperangkap dalam tali layang-layang.

“Kami menerima laporan bahawa kemalangan helikopter jenis PK-WSP Bell 505 milik PT Whitesky Aviation di Kuta Selatan adalah disebabkan ia tersangkut dengan tali layang-layang,” kata Khusnu.

Jelas Khusnu, kementerian akan melaksanakan lebih intensif mengenai bahaya layang-layang dan pemantauan melalui penyelarasan dengan pentadbiran Bali supaya tidak membahayakan keselamatan dan penerbangan.–Agensi

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini