MOSCOW: Jurucakap Kementerian Luar Armenia Ani Badalyan mengesahkan pada Selasa bahawa mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) berhubung situasi di wilayah Nagorno-Karabakh yang dipertikaikan akan diadakan pada 21 Sept.
“#Armenia menghantar surat kepada Majlis Keselamatan PBB, selari dengan #Perancis, meminta mesyuarat tergempar mengenai pencerobohan tentera berskala besar Azerbaijan terhadap rakyat #NagornoKarabakh. Mesyuarat akan diadakan pada 21 Sept. Kecaman yang jelas dan tindakan sewajarnya diperlukan segera,” Kata Badalyan di X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
Seorang sumber PBB memberitahu Sputnik pada awal Selasa bahawa mesyuarat UNSC mengenai situasi di rantau itu dijadualkan pada 21 Sept.
Pada Selasa, Kementerian Pertahanan Azerbaijan berkata tenteranya melancarkan “aktiviti anti-pengganas peringkat tempatan” di Nagorno-Karabakh bertujuan memulihkan ketertiban perlembagaan. Ia juga berkata tentera Azerbaijan hanya menyasarkan objek ketenteraan di Nagorno-Karabakh, manakala media Armenia melaporkan banyak korban dalam kalangan penduduk awam Nagorno-Karabakh akibat serangan itu.
Azerbaijan dan Armenia telah berperang dalam dua peperangan ke atas Nagorno-Karabakh, sebuah kawasan pergunungan di antara kedua-dua negara, yang sedang mencari kemerdekaan daripada Baku.
Konflik selama beberapa dekad itu kembali meletus pada musim luruh 2020, menandakan peningkatan terburuk sejak 1990-an.
Peperangan berakhir dengan gencatan senjata yang diusahakan oleh Rusia dan penempatan pasukan pengaman Rusia ke rantau itu. – BERNAMA-SPUTNIK