SINGAPURA: Singapura meluahkan kekecewaan terhadap kemajuan terhad dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN untuk menyelesaikan krisis di Myanmar dan memulihkan demokrasi di negara itu.
Singapura menegaskan kepentingan dialog konstruktif dalam kalangan pihak berkepentingan utama Myanmar untuk mencapai penyelesaian aman dan berkekalan terhadap krisis itu.
Perkara ini disampaikan oleh Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan semasa Konsultasi Tidak Formal Lanjutan dalam kalangan Negara Anggota ASEAN mengenai Myanmar di Thailand pada Jumaat, menurut Kementerian Luar.
“Menteri-Menteri Luar ASEAN mengadakan perbincangan bermakna pada Konsultasi Tidak Formal Lanjutan dalam kalangan Negara Anggota ASEAN mengenai Myanmar hari ini.
Dr Balakrishnan menyampaikan kebimbangan serius Singapura terhadap peningkatan berterusan keganasan hampir empat tahun selepas rampasan kuasa di Myanmar,” menurut kenyataan MFA pada Jumaat.
Pada April 2021, Pemimpin ASEAN bersetuju dengan 5PC mengenai Myanmar, termasuk gesaan untuk penghentian segera keganasan dan dialog konstruktif antara semua pihak berkepentingan.
Dalam mesyuarat itu, Dr Balakrishnan turut mengulangi gesaan Singapura agar pihak berkuasa tentera Myanmar segera dan sepenuhnya melaksanakan 5PC serta memberikan sokongan penuh kepada Wakil Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar.
Beliau menekankan bahawa Singapura akan terus menyokong usaha Pengerusi ASEAN yang akan datang, Malaysia, dan Wakil Khasnya berdasarkan 5PC dan keputusan yang dibuat oleh Pemimpin ASEAN.
“Singapura akan memberi sokongan penuh terhadap usaha ASEAN untuk meringankan situasi kemanusiaan di Myanmar. Rakan kongsi luar ASEAN juga memainkan peranan penting dalam menyokong usaha ASEAN mengenai Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha penting ASEAN dalam membina komuniti dan memperkukuh hubungan luar kumpulan serantau itu tidak seharusnya terganggu oleh krisis di Myanmar.
Semasa lawatannya, Dr Balakrishnan turut mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Laos, Thongsavanh Phomvihane. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.