Tumpuan :
Dunia

Murid enam tahun tembak guru di sekolah rendah

FOTO : AP

NORFOLK: Seorang kanak-kanak berusia enam tahun menembak dan mencederakan seorang guru dalam bilik darjah Tahun Satu di Sekolah Rendah Richneck, Newport News, Virginia.

Ketua Police Newport News, Steve Drew, berkata tiada murid lain tercedera dalam insiden tembakan di sekolah rendah kelmarin, manakala guru wanita berusia 30-an itu mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun, katanya, keadaan mangsa kini bertambah baik.

“Saya ingin jelaskan bahawa ini bukanlah situasi di mana individu bersenjata masuk ke sekolah sambil melepaskan tembakan,” katanya, namun mengesahkan insiden tembakan berkenaan bukan kemalangan.

Drew berkata, murid dan guru berkenaan mengenali antara satu sama lain. Murid lelaki itu membawa senjata api masuk ke dalam bilik darjah, dan pihaknya sedang menyiasat bagaimana dan dari mana dia memperolehnya.

Namun, beliau tidak memberi perincian lanjut mengenai insiden tembakan dan menjelaskan pihak polis sedang menjalankan siasatan.

Sementara itu, pentadbir Sekolah Rendah Richneck yang memiliki 550 murid memaklumkan sesi persekolahan pada Isnin ini dibatalkan.

Undang-undang Virginia tidak membenarkan individu berusia enam tahun dibicarakan sebagai orang dewasa, dan terlalu muda untuk diletakkan di dalam tahanan Jabatan Keadilan Juvana jika disabit kesalahan.

Namun, hakim juvana memiliki kuasa untuk membatalkan hak penjagaan ibu bapa dan menempatkan kanak-kanak itu di bawah jagaan Jabatan Perkhidmatan Sosial. – AP

Loading...
Terkini