Tumpuan :
Dunia

Mohammed al-Bashir dilantik Perdana Menteri sementara Syria

Mohamed al-Bashir dilantik sebagai Perdana Menteri sementara Syria sehingga Mac 2025. – FOTO: Reuters

DAMSYIK: Bekas pemimpin Kerajaan Penyelamat, Mohammed al-Bashir, mengumumkan beliau kini mengambil alih tugas sebagai perdana menteri sementara dengan sokongan pemberontak Syria yang menumbang Presiden Bashar al-Assad baru-baru ini.

Dalam ucapan ringkas di televisyen negara, Bashir sebelum ini mengetuai pentadbiran di kawasan barat laut yang dikuasai pemberontak, berkata beliau akan memimpin kerajaan sementara sehingga 1 Mac 2025.

“Hari ini kami akan mengadakan mesyuarat kabinet membabitkan pasukan daripada Kerajaan Penyelamat yang beroperasi di Idlib dan kawasan sekitarnya, serta kerajaan rejim yang digulingkan.

“Mesyuarat itu bertujuan menyerahkan fail dan institusi pentadbiran kepada kerajaan sementara,” katanya.

FOTO: Reuters

Dalam ucapan itu, dilihat Bashir berada di hadapan dua bendera iaitu bendera hijau, hitam dan putih yang digunakan oleh penentang Assad sepanjang perang saudara, serta bendera putih dengan kalimah syahadah dalam tulisan hitam, yang biasanya digunakan oleh pejuang Islam Sunni di Syria.

Di ibu kota Syria, bank mula dibuka semula buat kali pertama sejak kejatuhan Assad. Kedai-kedai juga kembali beroperasi, lalu lintas kembali berjalan seperti biasa, pekerja pembersihan mula membersihkan jalan dan bilangan lelaki bersenjata dilihat semakin berkurangan.

Dua sumber pemberontak mendakwa, komando pasukan mereka telah mengarahkan pejuang untuk berundur dari kawasan bandar dan pasukan polis serta keselamatan dalaman yang berkerjasama dengan kumpulan utama pemberontak, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), dikerahkan ke kawasan terbabit.

HTS, bekas sekutu al-Qaeda yang mengetuai pemberontakan anti-Assad, kini lebih menonjolkan imej sebagai kumpulan yang telah meninggalkan akar ‘jihadisme’ mereka.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, mendakwa AS menyokong penuh proses peralihan politik Syria dan mahu ia membawa kepada pentadbiran yang inklusif serta bebas daripada unsur sektarian.

Timbalan Penasihat Keselamatan Negara AS, Jon Finer, memberitahu Reuters bahawa AS masih sedang mengkaji cara untuk bekerjasama dengan kumpulan pemberontak berkenaan.

Katanya, tiada perubahan dasar rasmi buat masa ini dan tindakan adalah perkara yang diutamakan.

Sementara itu, serangan udara Israel membedil pangkalan tentera Syria, yang sebelum ini ditinggalkan pasukan tentera Syria ketika melarikan diri daripada kemaraan pemberontak.

Tentera Israel mendakwa pasukan mereka telah memusnahkan kebanyakan bekalan senjata strategik Syria dalam tempoh 48 jam lalu, atas alasan mahu mengelak ia jatuh ke tangan ‘musuh’.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata mereka mahu mewujudkan zon pertahanan steril di selatan Syria tanpa kehadiran pasukan tetap.

Israel menghantar pasukan merentasi sempadan ke zon penampan di dalam Syria dan mengakui pasukan mereka telah mengambil beberapa kedudukan di luar zon penampan yang ditetapkan selepas perang Timur Tengah pada 1973, namun menafikan mereka mara ke arah Damsyik.

Halaman Facebook pentadbiran pemberontak mendedahkan bahawa Bashir pernah dilatih sebagai jurutera elektrik, kemudian memperoleh ijazah dalam syariah dan undang-undang serta pernah memegang jawatan dalam bidang pendidikan dan lain-lain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini