Tumpuan :
Dunia

Mohamed Salman ‘Kebal’ Daripada Tindakan Perundangan Di AS

Perdana Menteri Arab Saudi baharu, Mohamed Salman | Foto: Reuters

RIYADH: Pelantikan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman sebagai Perdana Menteri negara itu membolehkannya beliau kebal daripada sebarang tindakan perundangan di mahkamah Amerika Syarikat.

Pasukan peguam yang mewakili Mohammed berkata, ini termasuk membabitkan kes pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi pada 2018.
Menurut pasukan itu, kedudukan Mohammed di puncak kerajaan Arab Saudi melayakkannya mendapat pelbagai keistimewaan diberikan mahkamah AS kepada ketua negara asing dan pegawai berpangkat tinggi lain.

“Titah diraja minggu lalu tidak menyebabkan keraguan Putera Mahkota berhak mendapat perlindungan berdasarkan status,” kata pasukan peguamnya dalam pemfailan membabitkan kes yang dibawa tunang Khashoggi, Hatice Cengiz pada 2020, Isnin lalu.

Pembunuhan Khashoggi pada 2018, individu yang mengkritik pernah rapat keluarga diraja Arab Saudi tetapi kemudian menjadi pengkritik Mohammed, menyebabkan Mohammed secara sementara dipandang negatif oleh negara Barat.

Namun, Mohammed dialu-alukan kembali di pentas dunia tahun ini terutama oleh Presiden AS Joe Biden yang ke Arab Saudi , Julai lalu.

Tahun lalu, Biden mendedahkan laporan perisikan yang mendapati Mohammed meluluskan operasi pembunuhan Khashoggi, namun dakwaan itu dinafikan pihak berkuasa Arab Saudi.

Pentadbiran Biden masih belum mempertimbangkan sama ada Mohammed layak mendapat keistimewaan dalam undang-undang.

Seorang hakim memberikan peguam AS tarikh akhir sehingga 3 Oktober untuk memfailkan kenyataan kepentingan mengenai persoalan itu.

Namun, selepas pengumuman jawatan baharu Mohammed Jumaat lalu, pentadbiran Biden meminta tambahan 45 hari untuk membuat keputusan.

Permohonan itu diterima dengan tarikh akhir baharu ialah 17 November ini. -AFP

Loading...
Terkini