BANGKOK: Misteri jeritan dari dalam perigi buta terbiar di Mae Sot, wilayah Tak, yang disangka ‘suara hantu’ akhirnya terjawab selepas penemuan seorang lelaki terperangkap di dasar telaga sedalam 12 meter.
Penduduk kampung tidak mengesyaki ada manusia terperangkap ekoran telaga itu terletak di dalam hutan.
Persoalan bunyi aneh itu membawa kepada laporan polis pada 24 November lalu.
Susulan laporan, polis dan pasukan penyelamat mula menjalankan siasat sebelum akhirnya mendengar suara mangsa.
Lelaki yang terperangkap itu, Liu Chuanyi, 22 tahun, ditemukan dalam keadaan lemah dengan patah pergelangan tangan kiri, dan lebam di seluruh badan selain mengalami gegaran otak.
Operasi menyelamat berlangsung selama 30 minit, dan Liu segera dibawa ke hospital.
Liu mendedahkan, dia terperangkap selama tiga hari tanpa makanan dan minuman, hanya menjerit sekali setiap jam untuk meminta tolong.
Bunyi jeritan yang didengar semakin kuat, terutama pada waktu malam.
Penduduk kampung menganggap bunyi itu sebagai suara hantu dan tidak berani keluar untuk menyiasat.
Pasukan penyelamat percaya Liu terjatuh ke dalam perigi ketika melalui kawan hutan.
Pihak berkuasa masih menyiasat mengapa lelaki itu berada di kawasan sempadan Thailand-Myanmar.
Mereka telah menghubungi jabatan imigresen untuk menyiasat latar belakang kehadiran Liu di situ.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.