comscore
Tumpuan :
Dunia

MINDEF tunggu laporan rasmi serangan kenderaan anggota MALBATT di Lubnan

Foto: Irfan_newboys / X

Oleh: Fahmi Tajuddin

PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) sedang menunggu laporan rasmi berhubung serangan orang awam ke atas dua kenderaan peronda pasukan Malaysian Batallion 850-11 (MALBATT) di Lubnan pada Rabu.

Mengulas berkenaan insiden itu, Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dua kenderaan peronda MALBATT itu seharusnya hadir ke sebuah mesyuarat di sebuah kawasan sebelum diserang.

“Kawasan yang dilalui oleh kereta peronda kita itu bukan kawasan yang ditugaskan tetapi kerana ada mesyuarat di kawasan itu yang merupakan di bawah kawalan pasukan Itali.

“Memang di kawasan itu, penduduk sangat ‘hostile’ kepada pasukan MALBATT dan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL),” katanya.

Selain itu, Khaled menasihati semua anggota MALBATT yang mengikuti misi UNIFIL sentiasa peka dengan keadaan semasa dan berhati-hati terutamanya ketika melalui kawasan kelolaan pasukan pengaman negara lain.

“Dengan pengalaman itu, memang kita diminta untuk hadir ke mesyuarat di kawasan-kawasan lain. Jadi kita kena berhati-hati dan mungkin kena letak bendera Malaysia dan sebagainya, apabila bergerak keluar dari kawasan yang kita keluar dan jaga.

Sebelum ini, 10 anggota MALBATT 850-11 dilaporkan selamat dalam serangan orang awam Lubnan ketika melalui kawasan Tes Road-Burj Al Qibli di bandar Tyre.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM), hari ini juga mengesahkan insiden itu dan berkata kesemua anggota terlibat telah dibawa ke Marakah hasil bantuan Lebanon Armed Forces (LAF).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini